Gangguan Bekalan Air Di Kota Kinabalu Ekoran Permintaan Melebihi Kapasiti – Shahelmey

Shahelmey Yahya b

KOTA KINABALU : Gangguan bekalan air di Sabah terutama di utara Kota Kinabalu, disebabkan kadar permintaan air terawat semasa melebihi kapasiti iaitu 221 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding kapasiti 171 JLH, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata ia menunjukan kekurangan bekalan ke kawasan berkenaan sebanyak 29.2 peratus, justeru program pemulihan bekalan telah dilaksanakan.

“Program jangka pendek kita bermula Jun lepas sehingga sekarang iaitu kawal selia air sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran, menyelaras dan ubah suai keseimbangan air kerana ada tempat kita dapati punyai tekanan zon selesa, ada juga kawasan mempunyai tekanan air rendah, kita sedang lakukan penyeimbangan.

“Kita susun semula pengurusan bekalan air dan melakukan pemotongan sambungan langsung di mana pada sebelum ini terdapat ‘direct transmition line’ daripada tangki ke tangki utama yang menyebabkan gangguan tekanan.

“Maklum balas mendapati ia beransur stabil, namun masih terdapat kawasan masih mempunyai tekanan bekalan air rendah,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) berkenaan perancangan menangani masalah air terutama di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di sini.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata penukaran paip air yang lama, terutama paip simen asbestos yang sudah berusia lebih puluhan tahun juga sedang dilakukan secara berperingkat memandangkan faktor itu juga merupakan satu daripada punca peningkatan kadar Air Tidak Berhasil.

“Kita perlu membuat empangan dan kita memohom kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong usaha apabila kita ingin membina empangan air bagi tujuan bekalan air jangka Panjang negeri Sabah,” katanya.

Mengenai masalah gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, beliau berkata sumber bekalan air yang membekalkan air ke kawasan hospital itu adalah melalui Loji Rawatan Air Telibong II Fasa I.

“Tindakan serta merta dilakukan dengan melaksanakan pengawalan injap suis untuk memastikan bekalan air sama rata dan meningkatkan tekanan air ke kawasan yang terlibat khasnya Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah,” katanya menambah buat masa ini masalah gangguan bekalan air di hospital itu telah diatasi.

Selain itu katanya projek yang dalam fasa pembinaan dan penyiapan adalah pembinaan projek naik taraf Loji Rawatan Air Telibong II Fasa II yang dijangkakan siap pada awal September 2023 yang berupaya membekalkan tambahan air terawat sebanyak 20 peratus ataupun tambahan sebanyak 16 JLH.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai pergantungan Sabah terhadap bekalan air tangki dibekalkan pihak swasta, Shahelmey berkata ia adalah langkah kecemasan ketika berlaku gangguan bekalan air secara kritikal.

“Namun demikian, apa yang terjadi ada pihak swasta mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan berlebihan. Mereka sepatutnya membekalkan air sahaja dan kos akan ditanggung kerajaan. Lori tangki air swasta tidak berlesen kita hentikan perkhidmatannya sejak dua minggu lalu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *