Pelajar KV Keningau Terima Penghargaan Menteri Pendidikan Sebagai Finalis Global Student Prize 2023

KENINGAU : Nurul Nazieha Jasnie, pelajar jurusan bakeri & pastri Kolej Vokasional Keningau, yang berjaya tersenarai sebagai 50 finalis teratas bagi Global Student Prize pada tahun ini telah diberi penghargaan khas dari Menteri pendidikan, YB Fadhlina Sidek, di Kolej Vokasional Gombak, Selangor, semasa Karnival Mini Pendidikan MADANI pada 9 Ogos 2023.

Pengarah Kolej Vokasional keningau, Christine Stanislaus Kinsik, dan ketua jabatan hospitaliti kolej tersebut, Anita Md. Yasin, turut hadir di majlis penghargaan itu. Global Student Prize adalah anugerah paling berprestij untuk pelajar di dunia yang menawarkan hadiah berjumlah USD 100,000.00 (RM 454,000.00) kepada seorang pemenang.

Nurul Nazieha merupakan satu-satunya pelajar dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang berjaya menjadi finalis pada tahun ini.

Nazieha telah menghantar permohonan dia untuk anugerah ini pada awal bulan Mac dan dia telah dipanggil untuk sesi temubual pada hujung bulan Jun. Pengumuman rasmi 50 finalis bagi anugerah ini berlangsung pada 19 Julai 2023 melalui laman sesawang dan laman media sosial penganjur iaitu Varkey Foundation dan Chegg.org.

Nazieha berjaya melayakkan diri sebagai finalis bagi anugerah ini melalui sumbangannya kepada komuniti dengan melaksanakan bengkel-bengkel kepada ibu-ibu tunggal agar mereka boleh menjana kewangan dengan kemahiran yang diperolehi.

Dia juga telah berjaya memulakan perniagaannya sendiri sejak tahun lepas dan pernah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan inovasi dan kemahiran. Pemenang anugerah ini akan diumumkan pada hujung tahun ini.

Nazieha meluahkan rasa terharu kerana kejayaannya telah menerima pengiktirafan daripada Menteri Pendidikan dan ini mampu memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain khususnya pelajar-pelajar kolej vokasional.

Pengarah kolej itu, Christine Stanislaus Kinsik, menyatakan rasa gembira dengan penhargaan tersebut kerana ianya sangat bermakna bukan sahaja pada Nazieha tapi pada kesemua warga Kolej Vokasional Keningau untuk terus berusaha lebih gigih mencapai sasaran kementerian pendidikan dalam pendidikan vokasional.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Laman sesawang yang memaparkan profil Nurul Nazieha sebagai salah seorang finalis boleh diakses melalui pautan ini: https://globalteacherprize.org/news/global-student-prize-finalists/2023-finalists-global-student-prize/1013/1013-Nurul-Nazieha-Jasnie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *