Pendakian Ke Puncak Gunung Kinabalu Ditutup Jika Hujan Lebat

Tangkap layar menunjukkan aliran air yang deras seperti air terjun akibat hujan lebat di laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dirakam pendaki atau petugas di gunung.

KOTA KINABALU: Penutupan laluan ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuat jika berlaku hujan lebat di kawasan puncak bermula pada tengah malam, sebelum aktiviti pendakian dimulakan.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim, berkata ia antara langkah segera diambil Renjer Taman yang mengawal aktiviti pendakian bagi mengelak sebarang kemalangan atau insiden tidak diingini.

Katanya, hujan lebat pada tengah malam dan berterusan hingga subuh menyebabkan berlaku aliran air deras dan membentuk ‘sungai’ sementara di laluan pendakian, namun ia fenomena biasa di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Beliau mengakui, fenomena itu berbahaya kepada pendaki dan atas sebab itu, beberapa langkah diambil untuk mengelak insiden tidak diingini seperti penutupan laluan pendakian, melaksanakan kuota pendaki dan mewajibkan pendaki dibimbing malim gunung.

“Kejadian hujan lebat dan pembentukan sungai di Gunung Kinabalu biasanya berlaku di laluan Kilometer 7.2 ke puncak dan ia adalah fenomena biasa, namun Taman-Taman Sabah tetap mengambil beberapa langkah untuk menjamin keselamatan pendaki.

“Langkah itu termasuk kawalan kuota bilangan pendaki dalam sehari iaitu dihadkan kepada 163 orang saja sehari. Setiap pendaki mesti dibimbing seorang malim gunung dengan maksimum lima pendaki.

“Seterusnya ialah langkah kawalan oleh Renjer Taman yang mana pintu laluan ke puncak gunung akan ditutup kepada pendaki apabila hujan lebat sejak tengah malam,” katanya, ketika dihubungi, di sini.

Beliau mengulas langkah keselamatan yang diambil Taman-Taman Sabah bagi menjamin keselamatan pendaki berikutan kekerapan kejadian aliran air deras akibat hujan lebat yang berterusan di puncak Gunung Kinabalu sejak kebelakangan ini.

Maklarin berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian bencana di Gunung Kinabalu.

“Laluan pendakian juga direntang dengan tali putih sebagai panduan kepada pendaki melakukan aktiviti pendakian dengan selamat.

“Pada masa sama, kita juga meneliti kemudahan dan cadangan penambahbaikan yang lain di laluan ini bagi meningkatkan tahap keselamatan aktiviti pendakian di puncak Gunung Kinabalu,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular klip video dikongsikan pendaki dan petugas di Gunung Kinabalu menunjukkan aliran air yang deras seperti air terjun di laluan ke puncak, selain klip video menunjukkan pendaki mengharungi aliran air yang deras sebelum ini.

Dalam laporan sebelum ini, Maklarin berkata, beberapa video menunjukkan insiden pendaki mengharung air deras ketika pendakian adalah disebabkan hujan lebat yang berlaku selepas pendaki sudah berada di kawasan puncak.

Fenomena itu membimbangkan orang ramai yang melihat klip video berkenaan, namun tiada sebarang laporan kemalangan atau insiden tidak diingini disebabkan kejadian semula jadi itu setakat ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *