Sindiket Seludup Makanan Sejuk Beku Lebih RM2 Juta Tumpas Di Sandakan

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hishamudin Tahar (kiri) melihat kotak yang berisi makanan sejuk beku yang berjaya dirampas daripada sindiket penyeludupan yang bergiat aktif di Sabah.

SANDAKAN : Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dari loji yang tidak diiktiraf, yang dianggarkan bernilai RM2,722,604 di sini malam tadi.

Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan di sini, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.

“Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki dewasa asing, telah diperiksa dalam serbuan di sini. Kes akan disiasat di bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015.

“PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam, serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau barangan rampasan itu di premis berkenaan hari ini.

Mohd Hishamudin berkata sejak Januari tahun ini, WCB/PSK telah berjaya melancarkan lapan serbuan di Sabah dan dua di Sarawak, terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,281,391.70.

Pengarah JPVS Dr Normah Yusop berkata pihaknya telah meragui kegiatan premis itu sejak tahun lepas lagi, namun dengan kerjasama PDRM, terutama menerusi PGA, JPVS membuat pendekatan serbuan yang lebih bersepadu.

“Kita mengesyaki barangan (daging ayam) diimport dari loji tidak diiktiraf di China, Australia, Denmark dan Poland, iaitu loji yang tidak mempunyai sijil halal.

“Barangan ini disyaki untuk pasaran tempatan, juga pulau-pulau di Filipina,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *