Sabah Wajibkan Agensi Kerajaan, GLC Ambil Anak Miskin Tegar Bekerja

Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Sabah mewajibkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur luar di negeri itu untuk mengutamakan golongan miskin tegar dalam pengisian jawatan kosong.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata langkah mewajibkan jawatan kosong kerani dan ke bawah diberi kepada pemohon dalam senarai e-kasih adalah bertujuan mengurangkan jumlah miskin tegar di negeri itu, lapor Berita Harian.

Katanya, bagi merealisasikan inisiatif itu kerajaan negeri memperuntukkan RM175 juta sebagai sokongan kepada agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelabur terlibat.

“Kerajaan negeri meluluskan RM300 juta khusus untuk mereka dalam senarai miskin tegar ini. Daripada RM300 juta ini, kita bina 1,300 rumah percuma Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) membabitkan peruntukan RM125 juta.

“Bakinya, RM175 juta diguna membantu anak miskin tegar mendapat pekerjaan di agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di Sabah. Kita buat keputusan wajibkan pengambilan jawatan kerani ke bawah daripada golongan miskin tegar ini,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, di Tongod semalam.

Kata Hajiji lagi, dengan kerjasama dan sokongan semua pihak beliau yakin Sabah dapat keluar dari senarai negeri paling ramai penduduk miskin.

Sabah ketika ini disenarai sebagai negeri paling ramai golongan miskin dengan tiga daerahnya iaitu Tongod, Pitas dan Kota Marudu dikenal pasti sebagai daerah termiskin di negara ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *