Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Dadah RM2 Juta Di KLIA

engarah Operasi Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah Wong Pun Sian (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA, Sepang.

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam menggagalkan cubaan menyeludup 61kg dadah bernilai kira-kira RM2 juta, disorokkan dalam tiga bungkusan diikrarkan sebagai alat ganti kenderaan, pada 5 Sept lepas di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah Wong Pun Sian berkata sebanyak 60 bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah jenis methamphetamine itu ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan.

Beliau dalam kenyataan berkata terdapat tulisan ‘refined Chinese tea’ dan beberapa tulisan lain dalam bahasa Mandarin pada bungkusan terbabit yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal.

“Modus operandi adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah dalam paket plastik teh bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Wong berkata siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Kota Kinabalu, Sabah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jumlah berat dadah itu, Wong berkata rampasan itu berjaya membanteras pengedaran bahan berbahaya terbabit kepada kira-kira 305,000 penagih.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *