Sambung Bekalan Elektrik, Penduduk Rayu Sokongan KM Sabah

Pada 10 Ogos lalu, sebahagian wakil penduduk yang hadir di pekarangan Menara Kinabalu untuk menghantar memorandum rayuan kepada kerajaan negeri supaya menyambung semula bekalan elektrik di perumahan SFI, Sipitang.

SIPITANG : Kira-kira 1,800 penduduk di perumahan Sabah Forest Industries (SFI) merayu supaya bekalan elektrik di kawasan perumahan mereka disambung semula selepas lima bulan ditutup.

Rayuan itu dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor supaya diluluskan permohonan bagi pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melakukan penyambungan semula bekalan elektrik di perumahan itu.

Wakil penduduk yang juga bekas pekerja SFI, Jeffridin Baudi berkata, penghuni di SFI boleh mendapat bekalan elektrik semula daripada SESB jika penduduk bersetuju untuk membayar 85 peratus tunggakan bil elektrik dan juga mendapat kelulusan atau sokongan daripada ketua menteri untuk menyambung semula elektrik.

Bagaimanapun, Jeffridin mendakwa bahawa surat permohonan yang telah dihantar kepada ketua menteri bagi mendapatkan kelulusan itu tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga hari ini.

“Pada 24 Ogos lalu kami ada bermesyuarat dengan pihak SESB berkenaan dengan masalah elektrik, jadi kami telah mendapat maklum balas daripada SESB dengan terma dan syaratnya.

“Syaratnya ialah kami cuma perlukan sokongan daripada ketua menteri untuk luluskan sambungan bekalan elektrik selain pihak SESB meminta kami membayar 85 peratus daripada jumlah keseluruhan RM300,000 tunggakan bil elektrik sebelum ini.

“Jadi kami bersetuju untuk membayar RM280,000 jumlah tunggakan tersebut dan kami hanya perlu mendapatkan sokongan kelulusan daripada ketua menteri sahaja. Namun sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas walaupun surat telah dihantar kepada pihak ketua menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Jeffridin lagi, bekalan elektrik sudah terputus sejak lima bulan lalu menyebabkan penduduk yang masih tinggal di kawasan itu menderita.

“Ada penduduk terpaksa bergantung dengan lampu solar, jika berkemampuan mereka menggunakan set generator. Bagi yang tidak berkemampuan mereka terpaksa menggunakan lilin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan negeri atau ketua menteri dapat memberikan penjelasan dan seterusnya memberi kelulusan supaya penduduk mendapat bekalan elektrik semula di perumahan terbabit.

“Seperti yang kita tahu bahawa SFI ketika ini masih dalam proses mahkamah namun masih tidak ada kata putus bahawa ia milik kerajaan atau sesiapa. Malah pihak bank juga ada hak kepada SFI.

“Jadi kita berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi kelulusan supaya penduduk dapat menikmati bekalan elektrik tersebut,” katanya.

Ogos lalu Sinar Harian melaporkan penduduk di SFI yang merupakan bekas pekerja di syarikat tersebut masih menetap di perumahan itu berikutan perintah mahkamah bahawa tiada pengusiran akan berlaku selagi kes mengambil alih SFI masih berlangsung di mahkamah. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *