Sabah FC Bangkit Benam KL City

Peres meraikan jaringannya ketika menentang KL City. Fotoo Malaysian Football League

KOTA KINABALU : Sabah FC bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain import dari Brazil, Gabriel Peres menjadi wira buat pasukan biumbingkan Datuk Ong Kim Swee apabila jaringan lewatnya membolehkan Sang Badak mengutip tiga mata penuh.

Peres menjaringkan gol ketiga Sabah pada minit ke-89 hanya dengan menolak masuk bola yang dihantar Saddil Ramdani ke arah gawang KL City ketika berlaku keadaan kucar-kacir di dalam kotak penalti.

Gol berkenaan menceriakan lebih 5,000 penyokong Sabah selepas mereka ketinggalan 2-1 pada minit ke-70, sebelum disamakan 2-2 pada minit ke-78 hasil jaringan kapten pasukan, Park Taesu.

Kesemua gol dalam perlawanan tersebut dijaringkan pada separuh masa kedua, bermula dengan jaringan pertama Sabah menerusi Stuart John Wilkin pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan hasil jaringan Romel Morales pada minit ke-59.

Jaringan itu mencetuskan kebangkitan pemain KL City apabila mereka berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-70 menerusi Muhammad Haqimi Azim Rosli, sekali gus meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, penguasaan KL City tidak bertahan lama apabila Park Taesu berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-78 selepas menyudahkan hantaran daripada Saddil Ramdani ke arah gawang lawan.

Harapan KL City untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Stadium Likas tidak kesampaian apabila Peres berjaya menjaringkan gol kemenangan Sabah pada minti ke-89.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *