KPB Sandakan Ambil Sampel Didakwa Beras Plastik

Ketua Cawangan Kawalselia Padi dan Beras Sandakan, Mohamad Saiful Nizam Adnan (kiri) dan Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan Mohammed Nasriq Zainal Abidin mengambil sampel beras dari sebuah kedai yang didakwa menjual beras plastik untuk dianalisa di jabatan kimia berikutan tular beras plastik.

SANDAKAN : Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sandakan hari ini telah mengambil sampel daripada satu jenama beras yang didakwa membungkus beras plastik untuk dijual kepada pengguna, bagi tujuan analisis oleh Jabatan Kimia.

Ketuanya Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata tindakan itu diambil susulan video yang tular di media sosial mendakwa beras yang dibungkus dan dipasarkan di sini tidak berisi beras tulen.

Beliau berkata peruncit dan pembekal jenama berkenaan telah tampil ke pejabat KPB Sandakan membuat aduan secara rasmi berkaitan komen negatif dan kerisauan pengguna.

“Pihak KPB sama sekali menangkis dakwaan terdapat beras plastik di dalam negara ini secara amnya dan khususnya di Sandakan.

“Setiap kemasukan beras import di pelabuhan, Bernas (Padiberas Nasional Berhad) akan membuat ujian makmal terlebih dahulu bagi memeriksa keselamatan beras serta sijil keselamatan yang perlu dikemukakan oleh negara pengeksport,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa bekalan beras di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin dalam kenyataan berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu keselamatan makanan negara.

Oleh itu, beliau berkata orang awam dinasihatkan untuk tampil membuat aduan secara rasmi ke kementerian itu jika terdapat masalah berkaitan beras dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tiada asas kukuh di media sosial.

Sementara itu, Ketua Cawangan KPB Sibu Mohd Izzwan Ibrahim mengesahkan telah menerima aduan daripada seorang pembekal beras yang terkesan akibat daripada video tular mengenai beras plastik yang dijual di pasaran.

Beliau berkata susulan itu, siasatan telah dilakukan hari ini dan sampel beras telah diambil di premis pembekal berkenaan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

“KPB menafikan wujudnya beras plastik di pasaran terutama di Sibu. Tiada motif bagi seseorang untuk menghasilkan beras plastik kerana kosnya adalah mahal,” katanya kepada Bernama.

Izzwan berkata pengguna yang was-was dengan beras dibeli, boleh membuat aduan di pejabat KPB dan diminta supaya tidak membuat sebarang maklumat palsu atau tanpa asas kukuh yang boleh menimbulkan kegusaran orang awam.

Dua hari lepas tular video seorang wanita warga emas yang menghempaskan gumpalan nasi ke lantai beberapa kali namun gumpalan nasi itu tidak pecah berderai, selain dengan berbahasa Iban mendakwa keluarganya sakit kerongkong selepas memakan nasi berkenaan. 

Menjelaskan insiden nasi tidak pecah berderai itu, Izzwan berkata nasi mengandungi kanji dan jika digumpal ia menjadi mampat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan wanita berkenaan dan memintanya datang ke pejabat KPB untuk membuat aduan rasmi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *