Polis Siasat Laporan ‘CCTV Kecil’ Tersembunyi Dalam Homestay Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan pasangan warga China yang menemukan kamera kecil tersembunyi dalam soket di sebuah bilik inap desa di sini yang kini tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata pihaknya menjalankan siasatan kes tersebut berdasarkan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, setelah menerima laporan polis daripada pasangan tersebut pada 5.27 petang, 7 Sept lepas.

“Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan dan rampasan ke atas barang kes telah dibuat, usaha untuk mengenal pasti suspek sedang dilakukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak polis menafikan telah meminta pengadu untuk memadamkan hantaran yang telah dibuat pengadu di platform medianya.

Katanya orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kes tersebut boleh menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu DSP Khairul Shah Peri menerusi nombor telefon 011-2669 1994. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *