SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China yang hilang ketika menjalankan aktiviti ‘snorkeling’ petang semalam, ditemukan lemas di kawasan perairan sebuah resort di Pulau Bum Bum, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Semporna Noor Jali Maslah berkata mayat mangsa dikenali sebagai Lin Jun Yong, 25, ditemukan pada 10.28 pagi selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa menggunakan kaedah ‘surface searching’.
“Bomba menerima panggilan daripada polis pada 8.27 pagi tadi mengenai mangsa dikhuatiri hilang di laut semasa menjalankan aktiviti ‘snorkeling’ di kawasan perairan resort sejak semalam,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, Ketua Polis Semporna Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada 8.37 malam tadi oleh pengurus resort.
“Mangsa bersama rakannya melakukan aktiviti ‘snorkeling’ di hadapan resort yang berjarak antara 10 hingga 15 meter dari jeti resort pada 4.30 petang dan mereka tidak memakai jaket keselamatan kerana beranggapan pandai berenang.
“Pada 5.15 petang rakan mangsa naik semula ke jeti resort kerana tidak melihat mangsa di laut, rakan mangsa yang juga seorang lelaki warga China kemudian bertemu pengurus resort seterusnya pencarian dilakukan di sekitar resort namun mangsa tidak ditemui,” katanya.
Farhan berkata siasatan awal mendapati berlaku kejadian air pasang dengan kedalaman air kira-kira 3 meter ketika mangsa bersama rakan melakukan aktiviti ‘snorkeling’ dengan jarak kedua-dua mereka antara 5 hingga 20 meter.
“Mangsa ditemukan terapung di laut lebih kurang 30 meter dari jeti resort hari ini,” katanya yang turut mengingatkan pengusaha pelancongan memastikan pelancong memakai jaket keselamatan serta memantau mereka ketika melakukan aktiviti laut selain memastikan kamera litar tertutup berfungsi. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost