Suami Isteri Ditahan Bawa Lebih 4 Kilogram Syabu Di Tawau

Jasmin (dua kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas semasa sidang media, hari ini.

TAWAU: Sepasang suami isteri ditahan bersama lebih empat kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM240,000 di kawasan Jeti CIQ lama, di sini Rabu lalu.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 8.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semasa kejadian, kedua-dua suspek sedang membawa sebuah tong dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Katanya, pasukan polis bertindak menahan dan membuat pemeriksaan ke atas barang yang dibawa oleh kedua-dua suspek terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam tong berkenaan, menemukan sebuah kotak yang mengandungi tiga bungkusan plastik teh cina dan satu bungkusan plastik berwarna emas.

“Pemeriksaan lanjut, semua bungkusan plastik itu mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 4,091.88 gram,” katanya ketika sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pula, pasangan itu adalah warga asing berumur 22 dan 21 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita difahamkan, kedua-dua suspek terbabit adalah pekerja ladang di Kampung Paris, Lahad Datu dan mahu balik ke negara asal melalui jalan haram.

“Semua dadah yang dirampas itu juga dipercayai untuk dibawa dan dipasarkan ke negara jiran,” katanya.

Jasmin berkata, semakan rekod jenayah lampau, kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif sebarang jenis dadah.

“Pasangan terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak polis kini sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *