Pakatan PBS-STAR ‘Signifikan’ Tapi Tak Akan Satukan Undi KDM, Kata Penganalisis

Jeffrey Kitingan (kiri) dan Maximus Ongkili (kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Seorang penganalisis menyifatkan potensi kerjasama antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebagai suatu langkah signifikan.

Bagaimanapun, James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, kerjasama itu mungkin tidak cukup untuk menyatukan undi masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Katanya, tiada blok politik yang mampu menyatukan undi mana-mana masyarakat tertentu di Sabah pada masa ini.

“Kali terakhir usaha sebegini berjaya adalah ketika kebanyakan orang Islam di Sabah menyokong Umno. Sejak itu, malah undi orang Islam telah berpecah, jadi (penyatuan undi) bukan suatu kemungkinan,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, terdapat beberapa parti yang mewakili atau menyasarkan masyarakat KDM, termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang menggunakan akronim sama.

“Kita boleh hujah bahawa hampir setiap parti ialah parti KDM, kerana hampir setiap parti akan cuba mendekati (masyarakat) KDM. Terlalu banyak parti dan terlalu banyak personaliti,” katanya.

Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, selain PBS, STAR dan parti KDM, Upko daripada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), anggota Barisan Nasional mempunyai asas pengundi dalam kalangan masyarakat KDM.

Untuk benar-benar menyatukan undi masyarakat KDM, PBS dan STAR harus mempertimbangkan sama ada mahu melanjutkan kerjasama mereka kepada komponen PH dan BN atau mana-mana parti lain, atau tidak, katanya.

Khamis lalu, PBS dan STAR mengumumkan mereka bersetuju untuk memulakan perbincangan rasmi bagi membina persefahaman dan kerjasama sesama mereka.

Presiden STAR Jeffrey Kitingan menghidupkan semula idea penggabungan dengan PBS pada Julai, cadangan yang mula-mula diutarakan ketika PRN Sabah pada 2020.

Menurut Jeffrey, penggabungan adalah suatu cara untuk mengukuhkan kedua-dua parti berasaskan KDM itu.

PBS diasaskan oleh abang Jeffrey, Joseph Pairin, yang memimpin parti itu ke tampuk kuasa dari 1985 hingga 1994. Bagaimanapun, beliau gagal mendapatkan semula kuasa selepas PRN pada 1994, apabila hampir semua wakil rakyatnya berpaling tadah kepada BN, termasuk Jeffrey.

Jeffrey kemudian keluar masuk beberapa parti sebelum membentuk STAR pada 2016.

Namun begitu, kata Chin, kerjasama antara kedua-dua pihak masih “sangat signifikan” kerana ia menandakan peralihan generasi dalam PBS dan STAR, dengan presiden-presiden parti Maximus Ongkili dan Jeffrey masing-masing berusia 70 dan 75 tahun.

Jika pakatan mereka diwujudkan, katanya, kedua-dua parti berasaskan KDM itu akan seterusnya membentuk blok penting dalam gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Lee berkata, pakatan itu akan menunjukkan bahawa tiada persaingan antara PBS dan STAR, menyifatkannya sebagai “permulaan yang baik walaupun jauh daripada penggabungan”.

“Ia penting dari segi strategi politik, terutama kerjasama untuk memenangi kerusi majoriti KDM dan mengelak pertembungan antara satu sama lain,” katanya.

“Ia juga bermakna jentera pilihan raya yang lebih teratur dan pembiayaan yang lebih cekap. Bagaimanapun, perancangan mestilah berdasarkan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *