Hajiji Tak Gentar Lawan Gabungan Pembangkang

Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata beliau tidak pernah meminta mana-mana parti keluar kerajaan negeri kerana percaya semangat penyatuan Sabah.

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor tidak gentar kemungkinan berdepan kerjasama Warisan dan Umno pada PRN negeri.

Beliau menegaskan gabungan itu tidak perlu bimbang memandangkan pernah berjaya mematahkan usaha “menggoncang” pentadbiran negeri diketuainya oleh pihak terbabit, namun rakyat terus menyokong pentadbirannya.

“Rakyat memberi keyakinan dan sokongan kepada kita. Rakyat mahu maju dan kestabilan politik,” kata ketua menteri Sabah dalam temubual dengan FMT.

GRS yang mula mengetuai pentadbiran Sabah pada 2020 disokong oleh Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti kecil lain.

Warisan dan Umno dijangka bekerjasama untuk menewaskan GRS pada PRN selepas gagal dalam usaha menjatuhkan pentadbiran Hajiji awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi minggu lalu dilaporkan berkata pihaknya belum membincangkan kerjasama dengan mana-mana parti pada PRN Sabah.

Pada Januari tahun lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan menarik balik sokongan kepada Hajiji.

Bagaimanapun, enam Adun parti itu bertindak sebaliknya sekali gus menggagalkan usaha menjatuhkan Hajiji, yang tindakan itu didakwa turut disokong Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

GRS, Umno dan Warisan adalah sebahagian kerajaan perpaduan di peringkat pusat. Bagaimanapun Adun Umno termasuk Bung serta wakil rakyat Warisan duduk di blok pembangkang DUN Sabah.

“Bagi saya sama ada dua parti berkenaan mahu bergabung itu hal mereka. GRS mempunyai tanggungjawab yang diberi mandat rakyat mentadbir sehingga tempoh tamat,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji berkata beliau tidak pernah meminta mana-mana parti keluar kerajaan negeri kerana percaya kepada semangat penyatuan Sabah.

“Tiada yang suruh mereka keluar daripada kerajaan negeri. Mereka yang tarik sokongan…jadi biarlah keadaan begitu.”

Menurut Hajiji, politiking yang menjadi antara cabarannya sejak dilantik ketua menteri kira-kira empat tahun lalu mungkin berlaku disebabkan beliau tidak dapat memenuhi kemahuan setiap pemimpin parti.

“Saya tidak boleh buat begitu sebagai ketua menteri, sebab itu mungkin ada tidak puas hati kerana pendekatan kita yang mengutamakan rakyat atau ikut peraturan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pemimpin mengelakkan politiking keterlaluan kerana rakyat Sabah lebih mementingkan isu berkaitan dasar dan perpaduan masyarakat majmuk.

Yakin kekal pentadbiran

Menyentuh PRN, Hajiji berkata beliau yakin kerjasama GRS dan PH akan mengekalkan pentadbiran walaupun perlu berdepan saingan daripada gabungan Warisan serta Umno.

Beliau juga menolak dakwaan Warisan yang diketuai bekas ketua menteri Shafie Apdal kuat di pantai timur negeri itu memandangkan parti terbabit hanya menang Semporna dan Lahad Datu pada PRU15.

“Tawau, Batu Sapi dan Sandakan mereka tidak menang. Dia tidak kuat,” katanya menegaskan Warisan tidak pernah mendapat mandat memerintah Sabah.

“Mereka dahulu jadi kerajaan kerana ada orang sokong dan lompat kepada Warisan, tetapi apabila Shafie bubar waktu dia ketua menteri pun mereka kalah.”

Hajiji berkata, Warisan pasti menang pada PRN berlangsung pada 2020 itu jika mereka kuat.

Pada PRN itu, GRS menang 38 daripada 73 DUN manakala Warisan pula menguasai 29 kerusi (kini 14 selepas wakil rakyatnya menyertai parti lain).

PRN Sabah perlu diadakan sebelum Oktober 2025. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *