Daerah Kecil Paitan Dan Sook Bakal Dinaik Taraf Sebagai Daerah Penuh

Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Dua daerah kecil di Sandakan iaitu Paitan dan Sook bakal dinaik taraf kepada daerah penuh dalam tempoh terdekat ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata cadangan menaik taraf kedua-dua daerah kecil itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah baru-baru ini dan dilaksana apabila beberapa perkara teknikal membabitkan urusan pentadbiran serta persempadanan diselesaikan.

“Kita telah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak berkenaan agar mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempercepat proses menaik taraf kedua-dua daerah kecil itu kepada daerah penuh.

“Dengan penaiktarafan itu, kita berharap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di kedua-dua kawasan dapat ditingkatkan selaras dengan status daerah penuh,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Hajiji berkata walaupun Paitan terletak jauh dari Kota Kinabalu namun kerajaan negeri tidak pernah mengabaikannya.

Beliau turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Dewan Serbaguna di Paitan bagi memenuhi keperluan rakyat di daerah itu.

Hajiji berkata beberapa projek juga akan dilaksana di Paitan antaranya menaik taraf Jalan Persekutuan dari Kanibongan ke Pitas dan membina Jalan Paitan-Pantai Boring dengan kos RM123 juta.

Turut diluluskan pembinaan Pencawang Masuk Utama berkapasiti 132 Kilovolt elektrik dari Bengkoka, Pitas ke Sugut di Paitan.

“Projek Bekalan Air Luar Bandar Sugut di Paitan membabitkan 11 kampung manakala satu lagi projek yang akan dilaksana ialah Jalan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Tabatu, Paitan sepanjang 5.6 kilometer,” katanya.

Ketua Menteri Sabah itu berkata ia adalah usaha kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah bersama Pakatan Harapan Plus dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *