Serah Balik Labuan Kepada Sabah, Cadang Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau mempersoalkan sejauh mana langkah diambil kerajaan persekutuan dalam memastikan pembangunan dan kemajuan Labuan.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen berpandangan lebih baik Labuan dikembalikan kepada Sabah sekiranya kerajaan persekutuan gagal memajukan pulau bebas cukai itu seperti dijanjikan.

Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berkata, kadar pengangguran Labuan masih tinggi, walaupun sekian lama diserahkan kepada persekutuan, dengan pelbagai akta percukaian turut diperkenal dan diluluskan.

Menurutnya, kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapitanya adalah kedua tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur iaitu RM85,560, dipercayai berpunca daripada aktiviti dalam sektor minyak dan gas tempatan.

“Namun, aktiviti itu sebahagian besar daripada langkah kerajaan Sabah di bawah Asean Supply Base (ASB), bukan inisiatif Persekutuan. Kalau ASB keluar dari Labuan, kita akan kehilangan 5,000 peluang pekerjaan.

“Rakyat Labuan tertanya-tanya adakah berbaloi Labuan menjadi Wilayah Persekutuan…apakah keuntungan kepada orang Labuan mahupun Sabah?” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya, terdapat syarikat berdaftar melalui Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) untuk beroperasi di Labuan, tetapi akhirnya beroperasi di Kuala Lumpur.

“Kenapa kita benarkan syarikat berkenaan sebegini? Kalau dia dapat menarik pelabur atau mana-mana kegiatan bagus juga tetapi kenapa bukan di Labuan?” katanya.

Sambil itu, beliau mempersoalkan sejauh mana langkah diambil kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan dan kemajuan Labuan seperti yang dicita-citakan.

“Kalau tidak elok serah balik Labuan kepada Sabah, supaya benda-benda seperti hal istiadat mahupun kebudayaan dapat dibina balik. Di Labuan ada Mahkamah Negeri tetapi apakah pentadbir-pentadbir dalam Wilayah Persekutuan itu memahami hal-hal dalam mahkamah ini,” katanya.

Tahun lalu, bekas ketua menteri yang juga presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee mencadang Sabah memulakan rundingan dengan kerajaan Pusat untuk mengambil semula Labuan bagi mengembalikan persempadanan asal negeri ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Katanya, pengembalian Labuan kepada Sabah perlu susulan penyerahan pulau itu pada 1984 sebagai Wilayah Persekutuan kedua, selepas Kuala Lumpur gagal mencapai matlamat digariskan melalui persetujuan kerajaan Sabah ketika itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *