Tahan 10 Van Tiada Lesen Bawa Pelancong

Lokman (dua dari kanan) memeriksa van yang ditahan kerana membawa pelancong tanpa lesen sah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Kerana membawa pelancong dalam dan luar negara tanpa lesen sah, 10 van ditahan dalam Ops Khas Van Putih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar ibu negeri, hari ini.

Operasi bermula 10 pagi tadi, membabitkan JPJ dan Bahagian Pelesenan dan Penguat kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Pengarah Penguat kuasa Kanan JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan diambil susulan aduan awam dan risikan pasukan yang mengesan ‘ulat pelancong’ khususnya di koridor penguatkuasaan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Hasil daripada operasi khas ini, sebanyak 10 van ditahan iaitu sembilan diambil tindakan, manakala satu disita kerana insurans dan lesen tamat tempoh.

“Semua yang ditahan adalah ‘ulat pelancong’ kerana siasatan mendapati mereka tiada dan gagal mengemukakan permit untuk menjalankan perkhidmatan sah daripada Motac.

“Pelancong dalam kenderaan pula diambil keterangan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media selepas operasi itu, hari ini.

Lokman berkata, siasatan juga mendapati ‘ulat pelancong’ itu menggunakan pelbagai kaedah termasuk pengiklanan dalam talian untuk mempromosi perkhidmatan yang tidak mematuhi syarat di bawahAkta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

Katanya, JPJ turut mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan di bawahnya bagi kesalahan teknikal kenderaan dan pemanduan.

“Perbuatan mereka (ulat pelancong) ini telah mengganggu sektor pelancongan di samping memberi risiko besar kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.

JPJ menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan itu supaya menyalurkannya kepada Motac dan JPJ menerusi aduan terus di aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected]. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *