Lelaki Warga Asing Diberkas Curi Motosikal Di Bazar Ramadan

Suspek dan motosikal berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit curi motosikal di sekitar tapak bazar Ramadan, Sabindo, di sini, pada 22 Mac lalu.

Lelaki berusia 17 tahun itu ditahan polis di sekitar taman perumahan bandar Tawau, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang ditahan adalah warga asing dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis yang dibuat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun di Balai Polis Tawau pada jam 5.40 petang 22 Mac yang lalu.

“Mangsa menyatakan ketika meninggalkan motosikal miliknya di kawasan tepi jalan dan membiarkan sahaja kunci motosikal di tempat kunci sebelum pergi ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

“Bagaimanapun, mangsa mendapati motosikal miliknya hilang dan disyaki dicuri selepas kira-kira 10 minit dari bazar berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Jasmin berkata, kerugian yang dialami mangsa atas kehilangan motosikal miliknya itu dianggarkan berjumlah RM5,600.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya memberkas seorang suspek lelaki yang dikenal pasti terlibat dengan kes curi motosikal berkenaan.

“Hasil daripada soal siasat dan disaksikan oleh suspek, pihak polis berjaya merampas semula sebuah motosikal milik mangsa yang dipercayai dicuri.

“Suspek dan motosikal itu kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Jasmin mengingatkan pemilik motosikal supaya tidak meninggalkan kunci pada motosikal atau membiarkan kenderaan mereka tidak berkunci ketika melakukan sesuatu urusan.

“Perbuatan itu boleh mendorong penjenayah untuk mengambil peluang melakukan jenayah,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *