Sekarang Bukan Masa Lobi Kerusi PRN, Hajiji Beritahu Parti Komponen

Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata beliau tidak pernah meminta mana-mana parti keluar kerajaan negeri kerana percaya semangat penyatuan Sabah.

KOTA KINABALU : Semua parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa tidak melobi kerusi tertentu untuk ditandingi pada PRN akan datang, kata Pengerusinya, Hajiji Noor.

Katanya, sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak melobi bertanding kerana beliau mahu calon boleh menang dipilih bagi mewakili GRS.

“Kita semua akan bertanding menggunakan satu simbol, iaitu simbol GRS. Jadi, ia bukan mengenai kerusi semata-mata, tetapi apa yang kita mahukan ialah calon yang boleh menang.

“Saya harap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan mereka untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri ini,” katanya.

Ketua menteri Sabah itu juga mahu pemimpin bahagian memperkukuhkan kerjasama di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, penting untuk pemimpin akar umbi turun padang dan mendengar masalah rakyat untuk dibawa ke peringkat kepimpinan atasan.

“Ini penting memandangkan cabaran yang sedang kita hadapi kini.”

Tempoh DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Hajiji membayangkan ia mungkin diawalkan ke tahun ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *