SESB Laksana Catuan Elektrik Di Beberapa Kawasan Di Sabah

KOTA KINABALU : Catuan bekalan elektrik terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir bermula semalam di beberapa kawasan di negeri ini, menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini.

Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan SESB Adrian Leo Mosigil berkata antara kawasan berkenaan ialah bandar raya ini, Sandakan, Tawau, Semporna, Kinabatangan, Papar, Tuaran dan Sipitang.

Beliau berkata catuan terbabit berlaku tanpa notis awal disebabkan kerosakan tidak dijangka pada satu set janakuasa milik stesen janakuasa bebas (IPP) di Kimanis yang menyebabkan Sistem Grid Sabah kehilangan 95 megawatt (MW).

“SESB berharap set jana kuasa milik IPP berkenaan akan dapat diperbaiki sebelum waktu beban puncak pada hari ini (27 Mac) bagi memastikan Sistem Grid Sabah mempunyai margin tenaga yang mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata cuaca panas kebelakangan ini telah memberikan kesan yang signifikan terhadap penggunaan tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Labuan.

“Oleh itu SESB meramalkan bahawa penggunaan tenaga elektrik akan tetap tinggi hingga Khamis (28 Mac) ini. SESB telah merekodkan penggunaan tenaga elektrik tertinggi pada 26 Mac iaitu sebanyak 1,128MW.

“Secara kebiasaannya, penggunaan tenaga elektrik akan meningkat kira-kira 2 petang hingga 8 malam sahaja,” katanya.

Sementara itu, SESB menerusi laman Facebook memaklumkan berlaku kekurangan penjanaan elektrik hari ini iaitu kapasiti 1,073MW berbanding permintaan waktu puncak diramal 3 petang ini pada 1,118MW.

“Oleh itu beberapa kawasan akan mengalami gangguan bekalan elektrik ekoran catuan dilaksanakan pada 2 hingga 4 petang ini serta 6 petang hingga 8 malam ini di beberapa daerah,” menurut SESB. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *