Wanita Maut Kereta Rempuh Pagar Rumah Di Lahad Datu

Keadaan kenderaan mangsa remuk di bahagian hadapan selepas merempuh pagar rumah di kawasan perumahan di Taman Gabungan, Lahad Datu.

LAHAD DATU : Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh pagar rumah di kawasan perumahan di Taman Gabungan, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan lalu merempuh pagar sebuah rumah dan juga sebuah kenderaan lain yang di parkir di kawasan perumahan tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, sampel darah mangsa turut diambil untuk dianalisis oleh pihak Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 bagi membantu siasatan,” katanya.

Rohan dalam pada itu turut menasihatkan penggunakan jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati ketika memandu.

“Pemandu warga emas juga diminta supaya mementingkan keupayaan dan tahap kesihatan masing-masing ketika memandu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *