PRN Sabah: Tak Mustahil Shahelmey Tanding Calon Pro-GRS

Shahelmey Yahya (tiga dari kiri) mewakili BN dalam PRN Sabah 2020 sebelum digantung Umno pada 18 Mac 2023 kerana enggan mengikut ketetapan parti ketika cubaan menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Tidak mustahil Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya yang digantung Umno bertanding sebagai calon pro Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Tanjung Keramat pada PRN, kata penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Shahelmey juga boleh mempertahankan Parlimen Putatan jika berlaku kekosongan, sekiranya beliau bertanding PRN mengambil kira akta anti lompat parti.

Mengikut undang-undang itu, Shahelmey terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Putatan dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) jika bertanding PRN Sabah bawah logo parti lain.

Namun, beliau boleh kembali bertanding PRK Parlimen Putatan susulan pemansuhan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan iaitu Ahli Dewan Rakyat yang gugur keanggotaannya tidak perlu lagi menunggu lima tahun sebelum bertanding.

“Shahelmey perlu berada dalam lingkungan kuasa yang memerintah bagi memperlihatkan beliau menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada serta berusaha sebaik mungkin untuk dirasai sebagai sebahagian kerajaan GRS dalam semua perkara.

“Ini penting bagi Shahelmey memperoleh sokongan untuk dicalonkan bertanding pada PRN Sabah. Sekurang-kurangnya sebagai calon parti yang pro-GRS kalau pun bukan sebagai calon parti GRS,” kata Syahruddin kepada FMT.

Beliau berkata, namun Shahelmey perlu memulihkan keyakinan pengundi dengan membuktikan petunjuk prestasi “cemerlang” sebagai wakil rakyat bukan bergantung kepada platform parti tetapi bakat kepimpinan serta kesungguhan.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, yang senada dengan Syahruddin berkata tidak menghairankan malah boleh dijangka Shahelmey akan mesra GRS untuk PRN kelak.

Beliau berkata, jika diteliti sokongan dan penyertaannya dalam kerajaan GRS, ia jelas memberi indikasi beliau memberi komitmen dan sokongan terhadap pemerintah itu.

Katanya, Shahelmey mempunyai pilihan sama ada ingin bertanding atau tidak jika kerusi Parlimen Putatan dikosongkan memandangkan beliau bukan lagi ahli Umno.

“Persoalannya sama ada sebagai calon bebas atau menyertai parti lain, ia masih belum dapat dijawab,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mendakwa peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan Shahelmey tidak layak mempertahankan kerusi DUN Tanjung Keramat disandangnya, selepas parti itu menggantungnya selama enam tahun pada Mac tahun lalu.

Bung menggesa Shahelmey mengosongkan kerusi Parlimen Putatan jika mahu bertanding PRN Sabah.

Shahelmey bertanding atas tiket BN dalam PRN Sabah pada September 2020 sebelum digantung Umno pada 18 Mac 2023 kerana enggan mengikut ketetapan parti ketika cubaan menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor awal tahun lalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *