Bung Patut Berundur, Kata Penganalisis Politik

Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin digugurkan sebagai timbalan ketua menteri susulan rombakan Jemaah Menteri dilakukan Ketua Menteri Hajiji Noor.

PETALING JAYA: Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin sepatutnya berundur dari arena politik negeri selepas gagal dalam cubaannya menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, kata dua penganalisis.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah, berkata adalah wajar bagi Bung berada dalam tempoh “bertenang” kerana cubaan itu bukan sahaja menjejaskan imejnya, malah memberi kesan terhadap Umno Sabah.

“Bagi Umno Sabah memperbaiki hubungannya (dengan Gabungan Rakyat Sabah), jelas Bung tidak boleh berada di barisan hadapan dalam kerajaan perpaduan Sabah, jadi orang lain perlu menggantikannya,” katanya.

“Ini bukan berkisar (Bung) kena disingkirkan, namun lebih kepada melakukan kompromi politik untuk semua pihak berbaik-baik semula.”

Turut senada, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) yang berkata Bung mesti menghormati keputusan dibuat pimpinan pusat walaupun BN Sabah mempunyai autonomi.

“Bung kena bersabar dan merancang langkah seterusnya susulan keputusan pimpinan pusat sekiranya beliau mahu membuat kebangkitan semula dalam pilihan raya negeri Sabah, yang mana akan berlaku kira-kira tiga tahun lagi,” katanya.

Pada Ahad, BN mengumumkan gabungan itu menyokong Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah dan melantik Timbalan Ketua BN Sabah Yakub Khan mewakili gabungan itu berbincang dengan kerajaan perpaduan negeri.

Perubahan hala tuju gabungan itu dibuat selepas Bung gagal menjatuhkan Hajiji daripada terus menerajui pentadbiran selepas mengumumkan BN negeri menarik sokongan terhadap pengerusi GRS itu.

Bagaimanapun, cubaan Bung yang turut disokong Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan wakil rakyat bebas, gagal selepas Hajiji membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Bung kemudian digugurkan sebagai timbalan ketua menteri kesan rombakan Jemaah Menteri dilakukan Hajiji.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Sabah Malaysia, berkata menamakan Yakub sebagai wakil BN berunding dengan kerajaan negeri jelas menunjukkan Bung secara rasmi dipinggirkan walaupun kedudukannya sebagai ketua gabungan itu di Sabah.

“Sejak Bung dicop sebagai dalang di sebalik rampasan kuasa, BN memilih Yakub demi meredakan ketegangan dan mengelak timbul keraguan dalam melakukan sebarang rundingan pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berkata Bung tidak akan kehilangan jawatannya sebagai ketua BN hanya kerana beliau bukan lagi timbalan ketua menteri.

Walaupun jawatan itu akan memberi kelebihan kepada Bung, Lee berkata ia juga bergantung kepada sama ada penyokongnya boleh memenangi jawatan di bahagian masing-masing. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *