Pemilik Kenderaan Persendirian Tak Perlu Lagi Pamer Cukai Jalan

Sebelum ini, Lesen Kenderaan Motor, atau dikenali sebagai ‘cukai jalan’ perlu dipamerkan di cermin hadapan setiap kenderaan.

PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM), atau cukai jalan, di kenderaan masing-masing, umum Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Katanya, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ bawah satu projek perintis.

Ini selaras dengan pelaksanaan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ, iaitu cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), oleh Kementerian Pengangkutan, tambahnya.

“Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana ‘setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan’ tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik bawah fasa pertama.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal (warganegara),” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini.

Loke berkata, buat masa ini, pemilik atau pemegang lesen kenderaan persendirian syarikat, kenderaan milik warga asing serta kenderaan perdagangan, termasuk kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam, masih wajib mempamerkan cukai jalan dan mengemukakan kad lesen memandu.

Beliau menggalakkan orang awam mendaftar di portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ yang boleh dimuat turun di telefon pintar agar tidak perlu bersesak-sesak menjalankan urusan di kaunter JPJ.

“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital,” katanya.

“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.

“Untuk pemandu yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat LKM serta menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim.”

Dalam pada itu, Loke menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa cukai jalan atau lesen memandu yang sah, selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loke ketika mengulas lanjut, berkata pihak kementerian boleh menjimatkan RM96 juta setahun susulan langkah pendigitalan terbabit.

“Penjimatan itu akan digunakan secara dalaman, iaitu dengan menaik taraf aplikasi dan pendigitalan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *