Didakwa ‘Dibeli’ Keluar Warisan, ADUN Kunak Cabar Shafie Lapor SPRM

(Dari kiri) Adun Banggi Mohammad Mohamarin, Adun Kunak Norazlinah Arif dan Adun Tanjung Kapor Chong Chen Bin ketika mengumumkan keputusan keluar Warisan, minggu lalu.

KOTA KINABALU : Adun Kunak Norazlinah Arif ‘mencabar’ Shafie Apdal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan presiden Warisan itu bahawa dirinya bersama dua Adun lain telah “dibeli”.

Pada 6 Feb, beliau bersama Adun Banggi, Mohammad Mohamarin dan Adun Tanjung Kapor, Chong Chen Bin, bertindak meninggalkan Warisan dan menjadi Adun bebas, selain menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Norazlinah berkata, beliau bukan sahaja sedia disiasat SPRM, malah mengalu-alukan Shafie mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan itu.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Shafie ada bukti kukuh. Saya beberapa kali menafikan sebelum ini kerana saya difitnah dan kemudian bertindak untuk membuat laporan polis.

“Saya keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Jika ada bukti minta dilaporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, ketika berbahas di Dewan Rakyat mendakwa Adun Warisan “dibeli” oleh Hajiji hingga menyebabkan Adun parti itu kini hanya tinggal 16 orang.

“Baru saja, apabila saya baru nak balik umrah ketika di Mekah, (saya dapati) tiga orang Adun saya kena beli,” kata Shafie (Warisan-Semporna) di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Norazlinah menyifatkan apa dilakukan Warisan di Sabah sejak kebelakangan ini, termasuk cubaan mengambil alih kerajaan negeri melalui insiden disebut ‘Langkah Kinabalu’ awal bulan lalu, sebagai tidak sihat.

“Polemik politik perlu berakhir agar semua Adun diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci. Jangan heret Adun serta parti ke kancah perebutan kuasa,” katanya.

Selepas pilihan raya negeri Sabah, pada September 2020, Warisan hilang sembilan Adun bermula dengan Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan), selain Mohammad, Norazlinah dan Chen Bin. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *