Sabah Kaji Potensi Jadi Tapak Pelancaran Ke Angkasa Lepas

Datuk Mohd Arifin Arif (tengah) menyaksikan penyerahan surat niat (LoI) kajian kebolehlaksanaan pembinaan kemudahan pelancaran angkasa lepas di antara Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Zainuddin Aman (kiri) dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Sovereign Sengalang Sdn Bhd, Ezra Effendi. – Foto ihsan KSTI Sabah

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi lokasi ke-16 di dunia memiliki kemudahan pelancaran ke angkasa lepas jika kajian kebolehlaksanaan fasiliti itu yang akan dilaksanakan tidak lama lagi menunjukkan hasil yang positif.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata jika menjadi kenyataan, ia juga akan meletakkan Malaysia sebagai negara kesembilan mempunyai kemudahan pelancaran angkasa lepas.

Katanya, kajian kebolehlaksanaan itu adalah langkah pertama yang dilaksanakan selepas penubuhan Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah yang sudah dipersetujui Kabinet negeri sebelum ini.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dan kerajaan negeri bakal melakar sejarah di Malaysia dengan penubuhan agensi itu nanti.

“Kita akan menubuhkan sebuah agensi yang dikenali sebagai ‘Sabah Space Industrial Corporation’ (Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah).

“Agensi ini akan bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor AeroAngkasa di Sabah.

“Cadangan ini sudah dibentangkan dan mendapat persetujuan Kabinet Negeri,” katanya pada Majlis Amanat 2023 KSTI Sabah, di sini, hari ini.

Sempena majlis itu, kementeriannya turut menyerahkan surat niat kepada sebuah syarikat tempatan, Sovereign Sengalang Sdn Bhd yang akan memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi melihat kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas Antarabangsa Sabah atau International Space Launch Industrial Centre (SLIC) di lokasi yang akan ditentukan nanti.

Arifin berkata, jika terlaksana, SLIC akan dapat memacu pertumbuhan antara 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa selain membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya serta limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah.

“Sekiranya kajian ini membawa indikasi positif, insya-Allah Sabah bakal membina ‘space launching facility’ (kemudahan pelancaran angkasa lepas) yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan nama Malaysia menjadi negara kesembilan yang memiliki fasiliti sedemikian.

“Inisiatif ini bakal melonjakkan Sabah menjadi negeri ulung dalam konteks pemindahan ilmu dan teknologi aeroangkasa bertahap tinggi di Malaysia,” katanya.

Kajian kebolehlaksanaan itu yang sudah dipersetujui Kabinet negeri dijangka mengambil masa setahun setengah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *