Kem Tentera Darat Akan Dibina Di Felda Sahabat, Lahad Datu

Mohamad Hasan (kiri) beramah mesra dengan anggota keselamatan bertugas sempena lawatan kerja ke Pos Kampung Tanduo hari ini.

LAHAD DATU : Sebuah kem Tentera Darat Malaysia (TDM) akan dibina di Felda Sahabat, Lahad Datu dengan kos RM646.15 juta dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memindahkan satu batalion infantri dan Briged Ke-13 Infantri sebagai usaha meningkatkan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan TDM menangani ancaman semasa, sekali gus mengukuhkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah.

“Rancangan kita untuk membina satu lagi briged di medan timur dan kita akan membina satu lagi kem baharu. Sekarang ada dua briged, dengan tiga briged lengkap untuk satu divisyen beroperasi,” katanya selepas mengakhiri lawatan ke Pantai Timur Sabah hari ini.

Mohamad berkata, usaha berterusan membina kesepakatan dalaman, peningkatan kesiagaan serta pengukuhan kerjasama pertahanan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk tempatan dilakukan secara menyeluruh serta mampan.

Menurutnya, dengan adanya pos dan kawalan tentera serta kem baharu dilengkapi pelbagai kemudahan di kawasan itu, dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada ATM serta negara.

Beliau turut meninjau Pos Kampung Tanduo, yang diwujudkan susulan pencerobohan pengganas 10 tahun lepas bagi memastikan usaha kerajaan memantau anasir jahat, khususnya insiden Tanduo tidak berulang.

“Melihatkan kemudahan dan fasiliti di Pos Kampung Tanduo ini, konsep pertahanan komprehensif melibatkan penyertaan kerajaan dan masyarakat dapat direalisasikan.”

Beliau turut meninjau pos di Pulau Berhala, termasuk Sekolah 3M (membaca, menulis dan mengira), yang merupakan inisiatif ATM menerusi Projek Jiwa Murni sejak 2009, selain ke pos di Pulau Jambongan sebelum ke Sandakan untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, katanya, TDM akan menghantar 60 anggota ke Turki dalam beberapa hari lagi atas permintaan negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat, susulan gempa kuat empat hari lalu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *