Sandakan RM12, Semenanjung RM9.40!

Antara restoran di sekitar ibu kota yang mengambil inisiatif menyediakan Menu Rahmah buat golongan sasaran.

KUALA LUMPUR : Hampir dua minggu diperkenalkan, Menu Rahmah yang merupakan antara usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat, mendapat maklum balas positif masyarakat, khususnya golongan sasar.

Tinjauan sentimen yang dilakukan Bernama pada 2 dan 3 Februari lalu mendapati kira-kira 56 peratus menyambut baik komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama B40 dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengah hari dan malam pada harga RM5 sepinggan.

Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menarik penyertaan lebih 15,000 restoran di seluruh negara, menyaksikan golongan sasar memanfaatkan sepenuhnya usaha itu yang menurut mereka sedikit-sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung.

Namun, timbul persoalan sejauh mana program itu mampu bertahan.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata, inisiatif itu memerlukan sinergi antara kerajaan, peniaga makanan dan pembekal bahan mentah sekiranya tidak mahu ia berakhir sebagai hangat-hangat tahi ayam.

“Sekiranya kita melihat dari sisi peniaga makanan itu sendiri, sememangnya sukar juga untuk mereka menurunkan harga makanan serendah RM5 kerana selain kos bahan mentah yang tinggi, mereka terpaksa menanggung lain-lain kos seperti kos operasi.

“Justeru, mungkin boleh diwujudkan pendekatan lain oleh kerajaan dalam menyalurkan bantuan seperti subsidi bahan mentah tertentu kepada peniaga yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berpandangan penglibatan syarikat besar dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam inisiatif itu dapat membantu kelangsungan program.

Menerusi konsep pay it forward (mengembalikan semula kepada masyarakat) yang banyak dipraktikkan di luar negara, syarikat besar dan NGO boleh menyalurkan sejumlah peruntukan kepada pengusaha yang terlibat dalam Menu Rahmah.

“Banyak NGO yang memberi sumbangan kepada gelandangan, B40 sehingga ada yang terlebih makanan dan berlaku pembaziran. Jika NGO itu memberi (sebahagian) sumbangan yang diperoleh mereka kepada peserta Menu Rahmah, ini lebih tersusun, tidak berlaku pembaziran dan lebih bersih.

“Syarikat besar pula biasanya mempunyai peruntukan untuk kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang boleh dipraktikkan melalui pay it forward, contohnya RM10,000 diberikan kepada pemilik restoran yang menjayakan Menu Rahmah,” katanya.

Setakat ini, antara pemain industri yang terlibat ialah Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) yang pada waktu ini menawarkan set Menu Rahmah pada harga RM4.90 bagi setiap hidangan nasi berlaukkan ayam atau ikan berserta sayuran dan air mineral.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin dilaporkan berkata, pihaknya akan memperluas program Menu Rahmah ke semua cawangannya di seluruh negara.

“Harga kos bahan mentah di Sabah dan Sarawak waktu ini lebih tinggi berbanding di Semenanjung, namun kita tetap bertekad menawarkan menu makanan itu bawah RM5 di seluruh negara.

“Contohnya di Mydin Sandakan, harga bagi satu kilogram ayam mentah RM12 berbanding di Semenanjung yang harganya RM9.40,” katanya dalam Program Temu bual Eksklusif yang bertajuk Inisiatif Menu Rahmah di Bernama Radio pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman yang merupakan Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra berkata, masyarakat yang lebih berkemampuan juga boleh berperanan secara proaktif membantu peniaga dengan menyumbang pek makanan Menu Rahmah kepada kumpulan sasar.

Beliau berkata, sumbangan itu dapat membantu kumpulan peniaga terlibat memperbanyakkan lagi jumlah hidangan Menu Rahmah, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai individu tidak berkemampuan.

“Ini yang kita namakan sebagai konsep berkongsi rezeki atau bayar makanan untuk orang lain, yang mana seorang pelanggan itu dia membayar lebih dan (lebihan bayaran) akan diguna untuk membantu mereka yang tidak mampu membeli,” katanya

Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya mengambil pendekatan terbaik bagi menangani kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan membeli menu tersebut.

Sekalipun yakin pengusaha mempunyai cara tersendiri dalam membuat saringan pelanggan yang layak, Ahmed Razman berkata, setakat ini tidak ada ketetapan atau peraturan yang boleh menghalang pelanggan bukan B40 daripada membeli hidangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Prof Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad tidak menolak pengenalan Menu Rahmah akan memberi sedikit kesan kepada peniaga kecil lain yang tidak terlibat dalam program tersebut.

“Pembeli pastinya akan lebih cenderung membeli daripada peniaga Menu Rahmah kerana harga lebih murah. Pastinya dalam jangka panjang peniaga kecil lain berkemungkinan terpaksa juga menurunkan harga mereka supaya setanding dengan harga Menu Rahmah.

“Perkara ini biasa juga berlaku dan dalam (istilah) ekonomi kita panggil persaingan sempurna, maksudnya peniaga menjual produk lebih kurang sama jadi peniaga itu tidak ada kuasa untuk meletakkan harga lebih tinggi kerana persaingan daripada penjual yang meletakkan harga lebih murah,” katanya.

Dalam situasi itu, beliau menyarankan peniaga kecil terbabit mengambil pendekatan bersaing secara kompetitif dan pada masa sama mencari jalan untuk mengurangkan kos, iaitu menjual makanan pada kos paling rendah.

“Tindakan ini saya lihat agak mencabar dalam ekonomi sekarang, namun saya yakin peniaga kecil ini boleh mencari jalan dalam menawarkan menu dan harga makanan yang sama seperti Menu Rahmah,” ujarnya.

Menurut beliau, pengenalan Menu Rahmah itu harus disokong dan dipuji kerana matlamatnya adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat sekarang yang ditekan pelbagai cabaran seperti inflasi dan kesan pandemik Covid-19.

Restoran Bekwoh, Nur Muhammad Tarif Mat Shah menunjukkan tiga Menu Rahmah iaitu Nasi Ayam Cincang, Nasi Telur Berlada dan Nasi Gulai Termenung yang dihidangkan bersama Air Sirap berharga RM5 bagi setiap hidangan. Kesusahan ketika bergelar mahasiswa perubatan di Rusia kira-kira 15 tahun lalu mendorong Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, 38, pemilik rangkaian klinik swasta yang juga pengusaha restoran mengambil bahagian dalam inisiatif menawarkan menu Rahmah di Kangar, Perlis.

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin berkata, Menu Rahmah merupakan langkah tepat dalam memperkenalkan konsep makanan seimbang merentasi semua laras latar belakang pendapatan.

Beliau melihat program itu sebagai langkah pertama Malaysia dalam memastikan rakyat yang dikategorikan B40 dapat menikmati hidangan mengandungi makronutrien lengkap (karbohidrat, protein dan lemak), serat serta pelbagai khasiat lain pada harga yang jauh lebih murah.

“Berdasarkan kajian terdahulu, kita dapati bahawa antara komponen utama yang dikorbankan oleh golongan kurang berkemampuan dalam menu harian mereka bagi mengurangkan perbelanjaan makanan ialah sumber protein seperti ikan dan ayam atau mengorbankan sumber sayur-sayuran.

“Pengenalan Menu Rahmah ini disifatkan sebagai platform yang membolehkan mereka mendapat keseluruhan komponen utama dalam menu harian mereka seperti saranan dalam Pinggan Sihat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penyediaan hidangan menepati porsi pemakanan yang ditetapkan dalam Pinggan Sihat Malaysia agar masyarakat bukan sahaja dapat menikmati hidangan sihat tetapi juga mengekang masalah obesiti.

“Cara penyediaan menu itu juga boleh dibaiki lagi bagi menambahkan impak positif terhadap kesihatan kumpulan sasar. Sebagai contoh, mengurangkan penggunaan minyak yang banyak dalam makanan bergoreng boleh memberikan kesan kesihatan lebih baik selain menjimatkan kos penggunaan bahan mentah bagi peniaga itu sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, peserta Menu Rahmah juga wajar melihat aspek pemakanan untuk kanak-kanak yang mana mereka memerlukan nutrien lengkap. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *