Tidak Disaman Jika Gagal Tunjuk Cukai Jalan, Lesen Memandu Digital, Kata Loke

Loke Siew Fook mana-mana cukai jalan dan lesen tamat tempoh masih perlu dibayar cuma ia tidak perlu ditampal pada kenderaan jika menggunakan aplikasi MyJPJ.

KUALA LUMPUR : Pengguna tidak akan disaman jika gagal menunjukkan bukti cukai jalan digital kerana pegawai penguatkuasa akan melakukan semakan di gajet penguatkuasaan,’ kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Penjelasan itu dibuat Loke di Facebooknya hari ini susulan maklum balas diterima daripada orang ramai yang mempersoalkan kewajaran langkah kerajaan mendigitalkan dokumen berkait kenderaan, seperti cukai jalan dan lesen memandu.

Loke turut menjelaskan bahawa pengguna tidak diwajibkan memuatnaik aplikasi MyJPJ kerana ia hanyalah pilihan untuk mendapat salinan digital cukai jalan dan lesen memandu.

“Pihak berkuasa tidak akan menyaman sekiranya pengguna gagal menunjukkan bukti cukai jalan digital kerana mereka boleh membuat semakan dalam gadget penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mana-mana cukai jalan dan lesen tamat tempoh masih perlu dibayar cuma ia tidak perlu ditampal pada kenderaan jika menggunakan aplikasi MyJPJ,” katanya.

Loke berkata, pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar atau tiada sambungan internet pula boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen secara fizikal dari JPJ dan format digital tidak diwajibkan.

Katanya, pengguna juga boleh mencetak di kertas dan simpan dalam kenderaan.

Menjawab rungutan beberapa pihak mengenai sistem aplikasi MyJPJ yang tidak dapat diakses, Loke berkata perkara itu disebabkan trafik yang sangat tinggi pada satu-satu masa kerana orang ramai ingin mendaftar masuk menggunakan kaedah baharu berkenaan.

“Saya tahu ada banyak lagi persoalan oleh orang ramai. Kita akan cuba memberi penerangan yang sejelas-jelasnya.

“Saya sedar dalam apa sahaja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan. Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut,” katanya.

Terdahulu Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, di kenderaan masing-masing.

Katanya, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ bawah satu projek perintis.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *