BN Sokong Kerajaan Perpaduan Sabah Pimpinan Hajiji

Barisan Nasional menyokong Hajiji Noor memimpin Sabah sejajar ketetapan parti di peringkat persekutuan.

KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendukung kerajaan perpaduan Sabah pimpinan Hajiji Noor selaku ketua menteri.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, berkata pendirian itu sejajar ketetapan parti di peringkat persekutuan yang membentuk kerajaan perpaduan.

“Sebuah sekretariat tetap kerajaan perpaduan dibentuk untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Feb lalu untuk diwujudkan sekretariat serupa di peringkat negeri termasuk Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Zambry berkata, BN Sabah dipertanggungjawabkan menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan dapat direalisasikan sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui kerajaan perpaduan.

Pada 7 Feb lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Komunikasi Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Dalam pada itu, Zambry berkata BN menamakan Yakub Khan selaku timbalan ketua Umno negeri untuk mewakili parti itu dan BN dalam perundingan dengan kerajaan perpaduan Sabah.

Pada 30 Jan lalu, Umno mengisytiharkan tempoh bertenang berhubung kemelut politik yang melanda Sabah bagi membolehkan satu penyelesaian secara tuntas dapat dicapai.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang tempoh bertenang itu, beliau memohon agar tiada lagi spekulasi atau kenyataan bercanggah dibuat sama ada di pihak Umno dan BN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Zahid juga sebelum ini berkata, parti itu belum mengambil apa-apa tindakan terhadap Adun Umno Sabah yang bertindak membelakangkan keputusan parti untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji.

Katanya, tindakan terhadap lima Adun terbabit dalam kemelut antara Umno BN dan kerajaan negeri itu diputuskan secara berasingan daripada tindakan lain yang dibuat parti itu sebelum ini dan diserahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk membuat keputusan.

Lima Adun Umno itu ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), James Ratib (Sugut), Dr Yusof Yacob (Sindumin), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Kelima-lima mereka bertindak menyokong Hajiji untuk terus mengetuai kerajaan negeri selepas Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan hilang kepercayaan dan mengambil keputusan menarik sokongan daripada kerajaan pimpinannya awal Januari lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *