Sedekad Berlalu, Pencerobohan Lahad Datu Masih ‘Berparut’

Sekurang-kurangnya 68 daripada 100 pemberontak Sulu yang mendarat di Lahad Datu, Sabah, pada 2013, dibunuh pasukan keselamatan negara.

KUALA LUMPUR : Walaupun sudah 10 tahun sejak 100 pemberontak Sulu melakukan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, namun kesan tindakan ganas masih meninggalkan parut mendalam.

Walaupun kebanyakan pemberontak berkenaan terbunuh dalam pertempuran berdarah selama dua bulan dengan pasukan keselamatan negara, ribuan pendatang dari selatan Filipina, yang menganggap Sabah sebagai rumah mereka pula menderita, susulan pencerobohan itu.

“Stigma menyelubungi tuntutan Filipina terhadap Sabah kekal. Ia sentiasa menjadi isu bagi rakyat Sabah kerana mengancam kedaulatan negeri,” kata aktivis dan bekas senator, Adrian Lasimbang.

Beliau yang juga presiden Pertubuhan Suara Anak Sabah, berkata sentimen umum di Sabah tidak mengalu-alukan kedatangan pendatang Filipina, walaupun kemasukan mereka ke negeri itu bermula sejak 1960-an.

Katanya kepada FMT, perasaan itu bertambah parah dengan “Projek IC”, pada 1990-an, yang berlaku ketika pentadbiran Mahathir Mohamad, menjurus pemberian kewarganegaraan kepada pendatang dengan pemberian kad pengenalan.

Kehadiran sejumlah besar pendatang tanpa dokumen di negeri berkenaan menjadi masalah besar, meskipun tahap keselamatan dipertingkatkan menerusi Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

Pada awal 1970-an, ribuan pelarian melarikan diri apabila tercetusnya perang saudara di selatan Filipina, sekali gus meningkatkan kedatangan buruh asing ke Sabah, selain menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, kelapa sawit dan industri perkhidmatan lain.

Pelarian berkenaan kekal di Sabah bersama ahli keluarga, sehingga tiga ke empat generasi, memegang pas lawatan dikeluarkan imigresen (IMM13) walaupun Filipina kembali aman, pada 1990-an.

Hampir seribu kes berlaku di mana kanak-kanak lahir hasil perkahwinan antara pendatang dan rakyat tempatan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap, disebabkan ibu bapa tidak mempunyai sijil pernikahan atau kanak-kanak itu ditinggalkan sama ada ibu atau bapa mereka.

Dipercayai hampir 800,000 hingga sejuta pendatang berada di Sabah tanpa mempunyai dokumen. “Kami mahu melihat penyelesaian muktamad dan juga menangani pendatang asing tanpa izin di Sabah,” kata Lasimbang.

“Pencerobohan Sulu akan terus menghantui rakyat Sabah, melainkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Sebuah lagi pertubuhan berpangkalan di Sabah, Advocates for Non-discrimination and Access to Knowledge, berkata pencerobohan yang berlaku mengubah hidup ramai rakyat Sabah.

“Komuniti terpinggir yang mana kehidupan mereka sangat bergantung kepada laut terpaksa mengadaptasi kehidupan dalam bentuk lain atau berdepan risiko tidak mampu mencari nafkah untuk ahli keluarga mereka,” kata jurucakapnya kepada FMT.

“‘Parut’ ini mengambil masa untuk sembuh. Selagi mana hak asas dan kemiskinan terus menekan, ia akan memberi kesan negatif kepada kumpulan terjejas dan masyarakat keseluruhannya.

“Jadi, penting menjaga kebajikan masyarakat keseluruhannya dan dengan itu kita mampu maju ke depan,” katanya.

Pencerobohan terhadap Lahad Datu oleh kumpulan Sulu diketuai waris dari Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud. Kumpulan itu mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada 11 Feb 2013. Sekurang-kurangnya 68 terbunuh dalam pertempuran selama dua bulan dengan pihak berkuasa keselamatan Malaysia, yang mana 10 anggota keselamatan negara gugur. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *