KOTA KINABALU : “Permainan masih berlangsung”, tegas Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang beliau mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Ketua Umno Sabah itu berkata, keputusan daripada kemelut politik ini dijangka dicapai pada malam esok.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan kesemua pemimpin parti politik di negeri ini pada hari esok.
“Kita menunggu Perdana Menteri yang akan datang esok, beliau akan berjumpa dengan kita, parti Warisan (Warisan) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)… barulah kita akan bercakap mengenai itu.
“Keputusan akan dibuat pada malam esok,” katanya ketika ditemui di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak tahu, yang saya tahu kerajaan tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama.
“Jadi apabila kita tarik diri, bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada lah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perjumpaan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, beliau berkata, mereka hanya membincangkan hala tuju Barisan Nasional (BN) dan pergolakan politik di negeri ini.
Terdahulu, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan Umno Sabah untuk menarik diri daripada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, keputusan sebulat suara pemimpin Umno Sabah itu selepas mengambil kira tindakan Hajiji memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost