Pekerja Binaan Maut Terjatuh Dari Tingkat 20 di Penampang

Pekerja binaan warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini.

PENAMPANG: Seorang pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja pembinaan di aras berkenaan sebelum terjatuh ke tingkat bawah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian sebagai tanda menghormati keluarga mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-8385335 atau IPD Penampang di talian 088-712222,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *