Gagasan Rakyat ‘Ready’ Hadapi PRU, Hajiji Bayang Kerjasama Besar

Hajiji (tengah) bersama pemimpin Gagasan Rakyat lain semasa dalam sidang media itu.

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti.

“Strategi parti kita adalah untuk memperkemaskan jentera mengikut Parlimen.

“Kebetulan PRU Parlimen akan datang dan ia sesuai dengan pindaan dengan parti ini,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, kerjasama dengan parti lain untuk berhadapan PRU nanti seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas sangat dialu-alukan.

“Kita akan tengok seluasnya, kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri dan rakyat…apa salahnya.

“Itu yang baik kerana matlamat kita adalah untuk bersatu padu dan bangunkan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan dalam persidangan yang diadakan, kesemua kepimpinan sebulat suara telah meluluskan pindaan perlembagaan parti.

Katanya, pindaan berkenaan adalah merombak struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai bahagian.

“Ini bererti Pindaan kita dari 74 bahagian kepada 26 bahagian telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk kelulusan.

“Jadi kita akan membuat pengemaskinian struktur parti kita lepas ini, menggunakan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, dalam persidangan itu, Gagasan Rakyat juga menerima kemasukan beramai-ramai ahli dari Parti Warisan (WARISAN) Keningau.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *