5 ADUN UMNO Sabah Sedia Tubuh Parti Baharu Jika Dipecat

Datuk Ir Shahelmey Yahya

KOTA KINABALU : Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang enggan menyokong langkah Umno Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sedia diambil tindakan termasuk dipecat daripada parti.

Adun terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Semalam, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, kelima-lima mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Hajiji.

Katanya, beliau tidak akan menarik balik SD dan sokongan yang diberikan kepada Hajiji walaupun ada desakan daripada Umno kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju untuk menukar kerajaan negeri pada masa ini.

“Sokongan saya kepada Hajiji tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli Umno. (Tapi), kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” katanya ditemui pada perjumpaan 44 ADUN yang menyokong Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Jasnih yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, turut menyatakan kesediaannya dipecat daripada parti berikutan keputusannya kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Beliau mengakui ada diminta untuk menandatangani SD untuk mengubah kerajaan sekarang kepada kerajaan gabungan BN dan Parti Warisan (Warisan) dengan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Menteri.

“Saya mengambil keputusan tidak menyokong perubahan kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira dari sudut profesional dan peribadi.

“Tetapi hakikatnya saya akan terus menyokong kerajaan yang ada di bawah kepemimpinan Hajiji selagi saya bergelar Adun Pantai Dalit.

“Saya faham risiko tindakan saya ini dan bersedia serta terbuka untuk menerima hukuman atau dipecat daripada Umno,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama kelima-lima Adun terbabit sebelum ini, mereka menekankan mahu kestabilan politik di Sabah dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

Difahamkan, kelima-lima mereka turut merancang menubuhkan parti baharu sebagai landasan politik untuk kekal bersama kerajaan di bawah pimpinan Hajiji jika dipecat atau diambil tindakan oleh Umno.

Sebelum ini, Bung Moktar berkata, lima Adun terbabit bakal dikenakan tindakan disiplin jika tidak menuruti keputusan parti yang sudah dipersetujui sebulat suara.

Jumaat lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan Umno Sabah untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 pada September 2020.

Tindakan itu, katanya selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri yang didakwanya melanggar perjanjian yang dibuat dengan BN sebelum ini, termasuk memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *