PM Bincang isu MA63 Bersama Abang Johari, Hajiji

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (dua, kanan) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menghadiri Mesyuarat MA63di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pagi ini bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar tiba di SICC jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi Hajiji sebelum ke dewan mesyuarat bagi memulakan perbincangan.

Selepas itu, Perdana Menteri dijadual ke Masjid Jamek Kampung Likas, di sini untuk menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat bermula jam 12 tengah hari.

Selesai solat Jumaat, beliau dijadual melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Damai, di sini pada jam 1.50 tengah hari.

Lawatan itu bagi meninjau keadaan dan kebajikan penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran di kampung berkenaan.

Dalam insiden pada pada 30 Ogos lalu, kira-kira 200 rumah atas air, dengan tiga mangsa ditemukan rentung akibat kebakaran di kampung berkenaan.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Facebook beliau malam tadi, Anwar menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.

“Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *