Pesara Polis Maut Kereta Bertembung di Jalan Langkon – Pitas

Keadaan lokasi kemalangan maut di simpang masuk Kampung Paya, Jalan Langkon-Pitas, di sini.

KOTA MARUDU: Seorang pesara polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di simpang masuk Kampung Paya, Jalan Langkon-Pitas, di sini, petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berumur 63 tahun yang memandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas menuju ke Kudat ketika hujan.

Katanya, kereta dipandu mangsa pula datang dari arah bertentangan iaitu Pekan Kota Marudu sebelum membelok ke kanan untuk memasuki simpang Kampung Paya.

“Ketika membelok, kereta berkenaan bertembung dengan bahagian hadapan tepi pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan, manakala lima penumpangnya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu kira-kira jam 2 petang.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *