
TAWAU: Dua pemandu lori ditahan susulan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan pemanduan berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna-Tawau, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman berkenaan pada 17 September lalu, kira-kira jam 9.58 malam.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Ogos 2026, kira-kira jam 3.52 petang, ketika sebuah lori dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
“Siasatan awal mendapati sebuah lagi lori dipercayai memotong beberapa kenderaan lain secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, rakaman kejadian tular di Facebook pada 17 September lalu sebelum laporan polis dibuat.
“Susulan itu, kedua-dua pemandu lori ditahan pada hari sama, kira-kira jam 11.10 malam bagi membantu siasatan lanjut.
“Pemeriksaan saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu turut dijalankan dan kedua-duanya didapati negatif dadah,” katanya.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Dalam pada itu, polis turut berusaha mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau menegaskan, Polis Daerah Tawau memandang serius tindakan pemanduan melulu dan berbahaya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah