
DOKUMEN pengenalan diri amat penting bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan seperti orang lain, termasuk menguruskan urusan perkahwinan secara sah di sisi undang-undang.
Namun, seorang gadis meluahkan rasa sedih apabila hasratnya untuk mendirikan rumah tangga berdepan kesukaran kerana masih belum memiliki MyKad, meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan.
Menurut gadis itu, dia sudah hampir setahun berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon dokumen pengenalan diri, namun usahanya masih belum membuahkan hasil.
“Memang orang tiada MyKad tak boleh kahwin ke? Sumpah sedih apabila pejabat agama kata tiada MyKad tak boleh nikah.
“Ceritanya panjang sebenarnya, aku pun tak tahu nak jelaskan dan tak minta dilahirkan jadi macam ni,” katanya menerusi Threads.
Menurut pengadu lagi, dia dilahirkan di Malaysia, pernah bersekolah rendah di negara ini dan bapanya juga merupakan warganegara Malaysia.
Namun, masalah mula timbul apabila bapanya mengabaikan tanggungjawab menguruskan masalah dokumentasinya sejak kecil.
“Semua salah bapa aku yang abaikan tanggungjawab dia untuk uruskan masalah aku ni. Dari aku kecil dia tangguh untuk buat MyKad.
“Sekarang apabila aku nak kahwin, jadi susah semuanya,” katanya lagi.
Isu dokumentasi itu turut memberi impak besar kepada kehidupan peribadinya apabila beberapa perancangan perkahwinan sebelum ini terpaksa dibatalkan begitu sahaja.
“Sebelum ini ramai yang masuk meminang dan menjalani proses taaruf, tetapi apabila keluarga lelaki tahu aku tak ada MyKad, mereka terus mendiamkan diri dan batalkan perancangan,” katanya.
Namun harapannya kembali bersinar apabila dia bertemu dengan lelaki dan bakal keluarga mertua yang sudi menerima keadaan dirinya seadanya.
Bagaimanapun, impian itu sekali lagi diuji selepas pihak pejabat agama memaklumkan bahawa urusan pernikahan tetap tidak dapat diteruskan tanpa MyKad.
“Aku nak nikah secara sah, tak nak buat dosa dan tak mahu masa depan anak-anak jadi macam aku yang susah hidup tanpa MyKad.
“Aku nak nikah macam orang lain, berdaftar di sisi undang-undang,” katanya.
Dalam perkongsian sama, gadis itu menjelaskan ibunya bukan warganegara Malaysia, manakala bapanya merupakan rakyat negara ini.
Katanya, pihak JPN memintanya mendapatkan pasport kerana nombor pasport ibunya tercatat dalam sijil kelahirannya.
Dia bagaimanapun berdepan kesukaran berbuat demikian kerana sudah terputus hubungan dengan ibunya sejak 2015.
“Aku dah pergi ke kedutaan negara mak untuk mohon pasport pun mereka nak bukti mengatakan kita warga sana. Itu masalah terbesar, dokumen mak satu pun tiada yang tinggal,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah