
KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penambahan wakil Parlimen dari Sabah dan Sarawak, dengan memastikan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu dipertingkatkan berbanding kedudukan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memulakan proses rundingan.
Katanya, penambahan kerusi Parlimen tidak boleh hanya meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi tanpa mengambil kira nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.
“Tetapi hari Rabu yang lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan ahli parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira ratio.
“Penambahan itu boleh jadi mengelirukan… tambah tetapi tidak bermakna dia mungkin (sama rata) equalize seperti mana yang ada. Jadi penambahan dengan peningkatan ratio penyertaan Sabah dan Sarawak.
“Yang kedua tentang penambahan jawatan-jawatan penting untuk Sabah dan Sarawak seperti mana diakui dalam Perjanjian Malaysia dan juga dalam suruhanjaya sebelum ini. Oleh itu, kita telah memutuskan dalam beberapa fasa iaitu fasa pertama telah dilaksanakan dan fasa kedua disegerakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu, hari ini.
Anwar menjelaskan, sebarang penambahan kerusi juga boleh melibatkan Semenanjung, namun prinsip utama ialah nisbah kerusi Sabah dan Sarawak mesti lebih tinggi daripada kedudukan ketika ini.
Katanya, perkara itu mengambil kira semangat asal MA63 yang memperuntukkan nisbah satu pertiga bagi Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum penyertaan Singapura berakhir pada 1965.
Ditanya sama ada penambahan itu akan boleh dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Perdana Menteri menambah, keputusan berhubung penambahan wakil Parlimen itu kini dalam proses bersama SPR, namun beliau tidak dapat memastikan sama ada ia sempat dilaksanakan pada pilihan raya akan datang.
Katanya, kerajaan tidak mahu mengganggu proses Perlembagaan yang perlu dilalui, tetapi menegaskan keputusan dasar berhubung perkara itu telah dibuat.
“Saya fikir kalau untuk PRU ini saya tak pasti boleh sempat atau tidaklah. Sebab kena manfaatkan kemudian ada proses. Saya tidak mahu ganggu dari segi proses Perlembagaan tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Sumber: AWANI
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah