
PENAMPANG: Seorang wanita warga tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sebuah kondominium di Kota Kinabalu, susulan siasatan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Wanita berusia 30 tahun itu dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk menjalani ujian saringan awal air kencing kira-kira jam 9.30 malam Khamis.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil mengesahkan tangkapan berkenaan ketika dihubungi.
Katanya, hasil ujian saringan menggunakan alat ujian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati wanita terbabit positif dadah jenis benzodiazepine (Benzo).
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dipohon reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber dadah berkenaan, manakala sampel berkaitan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis,” katanya.
Difahamkan, tangkapan wanita terbabit susulan siasatan kes seorang lelaki berperwatakan wanita yang disyaki aktif mengedar serbuk ekstasi di pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, pada 25 September lalu, JSJN Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di Jalan Pintas, Penampang, kira-kira jam 10.40 malam.
“Dalam tangkapan itu, polis merampas lapan paket serbuk disyaki ekstasi seberat 190.94 gram dan enam pil disyaki ekstasi seberat 2.80 gram, dengan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM6,400.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta berwarna putih,” katanya.
Alhusin sebelum ini berkata, lelaki berkenaan dipercayai terbabit membekalkan serbuk ekstasi, ketamin dan minuman campuran dadah dikenali sebagai ‘jus’ untuk pasaran pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah