
TAWAU : Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes rogol seorang wanita berusia 19 tahun di sebuah kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Titingan, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata suspek warga tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 10 malam Khamis lalu.
Katanya, suspek ditahan di kediamannya di kawasan berkenaan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dirinya dirogol oleh lelaki yang dikenalinya.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke kediamannya untuk membantu membaiki telefon bimbit miliknya.
“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke sebuah bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta tidak membenarkan individu memasuki kediaman sesuka hati, termasuk jiran atau kenalan, terutama ketika bersendirian.
“Utamakan keselamatan diri dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko.
“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah