‘KDM Bukan Dalam GRS, Tak Timbul Isu Tarik Sokongan’ – Hajiji

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, justeru pengumuman KDM menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau tidak memberi kesan kepada kedudukan gabungan itu.

“KDM ini bukan ahli GRS, dia bukan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Jadi tidak timbul mereka tarik sokongan atau tidak, itu dia punya pasal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada KDM sebelum ini sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.

“Yang penting di sini, KDM mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat di Paginatan ini telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.

“Dia sokong kerajaan negeri. Ahlinya mungkin KDM, tetapi yang penting sokongan dalam Dewan Negeri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), Hajiji berkata rundingan pembahagian kerusi akan dilakukan bersama parti yang menganggotai kerajaan negeri.

Beliau berkata kerjasama dengan rakan politik dalam kerajaan, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), akan diteruskan.

“Sekarang kerajaan negeri dianggotai oleh GRS dan dalam GRS ini ada beberapa parti dan juga dianggotai oleh PH dan BN.

“Mereka sudah berada dalam kerajaan, jadi kerjasama itu akan kita teruskan dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri pada hari ini.

“Kita akan berunding dengan rakan-rakan kita dalam kerajaan, tetapi sayugia diingatkan bahawa GRS adalah peneraju utama kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, rundingan berhubung agihan kerusi belum dimulakan, namun beliau berharap semua parti dalam kerajaan bersikap rasional dalam menentukan calon.

“Kita akan bincang dengan mereka mengenai agihan kerusi yang akan dipertandingkan tetapi setakat ini belum lagi kita berunding dengan mereka.

“Kita berharap kawan-kawan kita dalam kerajaan, parti-parti itu mestilah rasional dan kita akan tempatkan calon-calon mereka yang boleh menang dalam pilihan raya nanti. Itu kriterianya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *