KOTA KINABALU : Rakyat Sabah berhak mendapat kestabilan politik, kata seorang pemimpin Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Sabah “marah, mual dan muak ” dengan semua kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
“Apakah tiada langsung, walaupun sekelumit perasaan simpati kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi?” soal bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu di Facebook.
Dalam catatan samar itu, Rahman berkata, kesabaran adalah tonggak penting demokrasi dan jika tiada kesabaran, “demokrasi akan pincang”.
Kenyataannya menyusul krisis politik semasa di Sabah antara Ketua Menteri, Hajiji Noor dan Ketua Umno negeri, Bung Moktar Radin serta Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Selepas sejam bertemu Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin semalam, Hajiji tersenyum lebar ketika meninggalkan istana.
Hajiji digesa mengemukakan akuan bersumpah ADUN Sabah yang menyokongnya untuk kekal sebagai ketua menteri.
Sementara itu, Bung menemui Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan, di Kuala Lumpur untuk membincangkan krisis politik di negeri itu.
Bung yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah pada Jumaat mengumumkan BN dan Umno Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost