KOTA KINABALU : Tujuh ADUN Umno Sabah menemui Ketua Menteri, Hajiji Noor selepas perjumpaan pemimpin Umno negeri di Bangunan Umno Sabah, malam tadi.
Pertemuan yang diadakan di kediaman Hajiji itu diketuai oleh Timbalan Ketua Umno Sabah, Yakub Khan.
Perkara itu dikongsi menerusi Facebook Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Mohd Ariffin Arif yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.
“Adun Umno diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Yakub Khan berkunjung silaturahmi kepada YAB (Yang Amat Berhormat) ketua menteri di kediaman beliau,” katanya dalam hantaran itu bersama sekeping gambar.
Antara yang kelihatan hadir pada pertemuan itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga).
Selain itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, James Ratib (Sugut); Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Harun Durabi (Bengkoka); Yusof Yacob (Sindumin); dan Raimie Unggi (Adun dilantik), turut hadir.
Petang semalam, semua Adun Umno negeri itu diketuai Bung Moktar Radin berkumpul di Bangunan Umno Sabah, di tengah-tengah timbulnya spekulasi mengenai kononnya bakal berlaku pertukaran kerajaan negeri menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Warisan.
Pada masa sama, Presiden Warisan Shafie Apdal dijadual mengadakan sidang media di lokasi berasingan pada 4.30 petang semalam yang dipercayai ada kaitan dengan spekulasi berkenaan, namun ia ditangguhkan selepas petugas media menunggu lebih dua jam. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost