Gagal Guling Kerajaan Negeri, ‘Lanun, Penjarah’ Wajar Disingkir, Kata Pemimpin GRS

Khabar angin mengatakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor bakal tumbang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyelar mereka yang terlibat dalam cubaan menggulingkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

“Cubaan (rampasan kuasa) ini kerja lanun dan penjarah. Cukup-cukuplah. Mereka mesti disingkirkan,” kata pemimpin yang enggan dinamakan itu.

“Kini (identiti) mereka telah didedahkan. Semua orang di Sabah tahu siapa yang cuba menggulingkan Hajiji. Mereka ini ‘desperado’.”

Katanya, walaupun cubaan rampasan kuasa itu gagal kali ini, beliau tidak menolak kemungkinan pihak berkenaan akan cuba melakukannya lagi pada masa akan datang.

“Mereka mesti faham bahawa tindakan yang mengancam kestabilan politik Sabah akan memberi kesan terhadap kestabilan kerajaan perpaduan di Putrajaya.

“Saya tidak rasa ini sesuatu yang dikehendaki Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Saya berharap beliau akan menyuruh mereka ini supaya ‘berambus’.”

Menurutnya, perancangan untuk menggulingkan Hajiji menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan undang-undang anti-lompat parti di negeri itu.

“Kerajaan Sabah mesti mempercepatkan pembentangan undang-undang anti-lompat parti dalam sidang DUN,” katanya.

Terdahulu, timbul khabar angin di media sosial bahawa kerajaan Sabah pimpinan Hajiji bakal tumbang, dengan desas-desus mengatakan Barisan Nasional dan Warisan akan berganding bahu membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin GRS tampil menafikan perkara itu dan menyifatkan khabar angin berkenaan hanya bertujuan menjadikan keadaan politik di Sabah tidak stabil.

Kerajaan negeri yang diterajui Hajiji merangkumi GRS dan BN, disokong 53 ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk tujuh yang dilantik.

Warisan yang memiliki 19 kerusi, satu-satunya parti pembangkang, manakala PH Sabah – yang telah menyatakan sokongan untuk Hajiji – memegang tujuh kerusi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *