Cubaan Singkir KM, BN Sabah Umpama Tertikam Diri Sendiri

Media melaporkan langkah itu dibuat untuk menggantikan Hajiji Noor (kiri) dengan Shafie Apdal sebagai ketua menteri dan Bung Moktar Radin sebagai timbalannya.

KOTA KINABALU : BN Sabah seakan tertikam diri sendiri apabila cubaan menyingkir Ketua Menteri Hajiji Noor semalam tidak menjadi kenyataan, selepas enam daripada 17 ADUN gabungan itu enggan mengikrar sokongan kepada usaha menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah.

Spekulasi menyusuli khabar angin mendakwa BN Sabah, yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, sedang berbincang dengan Warisan pimpinan Shafie Apdal, untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Pentadbiran Hajiji disokong 53 ADUN daripada 79 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri. GRS menduduki 26 kerusi, sementara BN Sabah 17. Warisan yang merupakan pembangkang mempunyai 19 kerusi.

Langkah itu tidak menjadi kenyataan selepas enam ADUN Umno Sabah enggan menyokong cubaan itu. Mereka adalah Shahelmey Yahya, James Ratib, Jasni Daya, Harun Durabi, Yusof Yaakob, dan Andi Muhammad, menurut Daily Express.

Kumpulan enam wakil rakyat itu membantah BN bekerjasama dengan Warisan untuk membentuk kerajaan negeri baharu, yang diketuai Shafie selaku ketua menteri, Bung sebagai timbalan, dan bekas ketua menteri, Salleh Said Keruak sebagai menteri kewangan.

Akhbar itu difahamkan Shafie menawarkan empat jawatan menteri kepada Umno Sabah.

Dalam pada itu, parti-parti picisan dijangka akan menyokong sekaligus mencukupkan bilangan untuk menggulingkan Hajiji.

Namun, cubaan itu akhirnya tidak disokong sekurang-kurangnya 40 ADUN yang diperlukan.

Pemimpin GRS membidas langkah itu, menyifatkan ia mengancam kestabilan politik Sabah.

Pakatan Harapan Sabah dengan tujuh kerusinya mengesahkan sokongan kepada Hajiji.

Menurut laporan media, sidang media Shafie dan Bung yang dijadualkan berlaku sebuah hotel di Kota Kinabalu dibatalkan.

Beberapa ADUN Warisan dilaporkan berhimpun di situ, termasuk ADUN Moyong, Darell Leiking; ADUN Tanjung Aru, Junz Wong; dan ADUN Karamunting, George Hiew. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *