TAWAU : Seorang pendatang asing tanpa izin dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya yang berusia 14 tahun dan empat bulan, 18 September lalu.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, ketika menjatuhkan hukuman berkata, kesalahan dilakukan tertuduh, Elmi Al-Basiran, 53, yang mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu adalah terlampau serius.
“Selepas mengambil kira keseluruhan fakta kes, hujah pendakwaan, pengakuan dan rayuan tertuduh, mahkamah tidak boleh berkompromi dengan kesalahan ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu dengan meraba mangsa, Iaitu kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dan empat bulan.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan melakukan kesalahan sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Apas Parit, Jalan Apas, dekat sini, kira-kira jam 9 pagi pada 18 September lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Awang Kerisnada dalam keputusannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua dan hukuman berjalan secara serentak berkuat kuasa hari ini.
Tertuduh juga diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang sebaik selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 8 pagi, tertuduh memanggil mangsa datang ke rumahnya yang terletak berhampiran dengan alasan meminta mangsa mengurut belakang badannya yang sakit.
Bagaimanapun, sebaik mangsa sampai di rumah, tertuduh melakukan amang seksual terhadap mangsa.
Mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital Tawau dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan koyakan lama pada selaput dara selain mangsa juga mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan tertuduh sejak Jun lalu. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost