Wanita Didakwa Bunuh Pemandu E-Hailing

Tertuduh, Nurima Juli, 33, (dua, kanan) hanya mengangguk faham selepas pertuduhan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

TAWAU, 30 Jan : Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing di sebuah ladang sawit, di sini, 13 Jan lalu.

Tertuduh, Nurima Juli, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Nurima bersama dengan beberapa individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5 di sini, antara jam 7.30 malam hingga 9 malam, 13 Jan lalu.

Nurima didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dzul Elmy   menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Mac ini sementara menunggu laporan kimia, laporan forensik dan notis rekuisisi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan beberapa individu termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat mangsa dalam kawasan semak di ladang sawit tersebut pada 16 Jan lalu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *