Pekerja Ladang Dibaham Buaya Ketika Memancing

Foto Facebook

SEMPORNA : Seorang pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing di kawasan muara sungai di ladang Pegagau di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, lelaki berusia 36 tahun itu dibaham reptilia tersebut sebelum dibawa masuk ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menyatakan seorang pekerja ladang dibaham buaya.

“Mangsa bersama tujuh rakannya memancing di pinggir kawasan sungai, bagaimanapun tali pancingnya tersangkut di dalam air.

“Mangsa kemudian bertindak mengambil sebatang kayu panjang bagi melepaskan tali pancing berkenaan namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan membaham kedua kakinya sebelum dibawa masuk ke dalam air,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Operasi SAR disambung semula pada Isnin namun sehingga kini mayat mangsa belum ditemui.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 4 petang hari yang sama.

“SAR giat dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu pekerja ladang serta penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemui bersama buaya berkenaan, namun ia dibawa semula ke dalam sungai ketika pasukan SAR cuba menghampiri mayat tersebut,” katanya.

Mohd Farhan berkata, SAR disambung semula pada Isnin namun sehingga kini mayat mangsa belum ditemui. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *